Sebarang maklumbalas boleh hantar ke emel "takdehutang@gmail.com" saya

16 October 2009

Ramai Rakyat Korea Selatan Jual Barang Kemas

TANDA mata berharga seperti barang kemas yang diperoleh menerusi perkahwinan atau diwarisi sememangnya amat bernilai. Namun, ada kalanya biar sehebat mana pun nilainya di mata pemilik, ada kemungkinan ia berakhir di pajak gadai jika keadaan terdesak.

Inilah fenomena sedih yang berlaku di Korea Selatan apabila semakin ramai rakyatnya berpusu-pusu menjual barang kemas mereka di pajak gadai dan kedai emas akibat kemelesetan ekonomi yang melanda sekarang.

Malah selain mereka yang sudah berkahwin, pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga turut berjimat apabila pengantin lelaki cuma menghadiahkan sebentuk cincin kepada pasangan berbanding hantaran serba lengkap iaitu set cincin, subang dan rantai bertatahkan berlian, mutiara dan batu berharga yang diberikan sebelum ini.

Korea Selatan yang diketahui antara sekutu utama Amerika Syarikat, sememangnya merasai kesan langsung akibat krisis kewangan global. Buktinya, statistik terbaru menunjukkan pengeluaran sektor perindustrian negara itu susut 14 mata, jauh lebih tinggi daripada ramalan asal lima peratus dan menjadi catatan terburuk dalam tempoh 40 tahun.

Malah yang berlaku ketika ini membangkitkan pengalaman yang pernah dilalui rakyatnya ketika krisis kewangan 1997. Namun ketika itu, tindakan menjual barang kemas lebih kepada membantu negara, kali ini mereka terpaksa melepaskan barangan berharga itu demi memenuhi kepentingan diri sendiri.

Penganggur Korea Selatan melihat papan mengiklan pekerjaan.

Berikutan itu, tidak hairanlah ramai rakyatnya mengunjungi pajak gadai serta pameran lelongan bagi mendapatkan penilaian percuma barang kemas mereka.

Barangan yang dijual termasuk cincin kahwin dan barangan kemas yang dihadiahkan kepada anak mereka pada ulang tahun pertama, jongkong emas serta berlian.

“Saya tidak cukup wang untuk membuka restoran dan tiada pilihan kecuali menjual cincin yang dihadiahkan ibu mentua,” kata seorang wanita berusia lebih 50 tahun.

Ketua Pegawai Operasi syarikat barang kemas Dax Diamond, Kang Seung-Gi berkata bilangan pengguna yang menyatakan hasrat menggadai cincin, rantai dan gelang mereka meningkat hampir dua kali ganda tahun ini.

“Bilangan pengguna yang mahu menggadai serta menjual barang kemas jauh melebihi mereka yang berhasrat membelinya. Mereka memilih cara itu berikutan harga emas yang agak tinggi ketika ini,” katanya.

Presiden syarikat Pagoda Jewelry , Moon Min-Soo berkata hasil jualan mereka merosot sehingga separuh berbanding dua tahun lalu.

Malah semakin ramai pasangan yang mahu berkahwin memilih cincin kecil.

“Bukan setakat itu, mereka juga tidak lagi menjadikan jam tangan mahal atau menghadiahkan barangan perak lain sebagai hantaran.”

Pensyarah jurusan perniagaan Universiti Kyonggi di Seoul, Eom Gil-cheong, berkata perkembangan itu adalah kesan langsung krisis ekonomi yang mula mencengkam negara itu.

“Keadaan ekonomi yang semakin suram itu menyebabkan semakin ramai memilih cara mudah mendapatkan wang bagi menampung keperluan.

“Ini termasuklah barang kemas yang berharga, biarpun ia mempunyai nilai tersendiri kepada pemiliknya.”

Inilah hakikat pahit yang terpaksa ditelan ramai rakyat Korea Selatan. Dan, berdasarkan perkembangan semasa, nasib malang mereka itu dijangka berterusan selagi ekonomi Korea Selatan yang sebelum ini dikenali antara gergasi sektor pembuatan Asia, terus malap.

No comments: